Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia
Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan para sahabat dan pengikut yang istiqamah
menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dari al-Mughirah r.a, dari Nabi SAW bersabda maksudnya : “Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu,
melarang membuat bakhil dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu
terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta
membuang-buang harta tidak pada tempatnya.” (Hadis Riwayat
Bukhari)
Berdasarkan hadis di atas terdapat 3 perkara larangan keras (di
haramkan) daripada Allah SWT iaitu :
1. Menderhakai ibu.
2. Membuat bakhil (kedekut)
3. Menguburkan (membunuh) anak perempuan.
Terdapat 3 perkara kebencian Allah SWT iaitu :
1. Terlalu banyak berbicara begitu begini.
2. Terlalu banyak bertanya.
3. Membuangkan harta tidak pada tempatnya.
Huraiannya
:
Tiga perkara larangan keras (diharamkan) :
1.
Menderhakai ibu.
Ibu adalah insan yang berjasa kepada anak-anaknya. Bermula dia
mengandung, melahirkan , memberi susuan, membesarkan dan memberi penuh kasih
sayang kepada anak-anaknya. Adalah amat malang ada anak yang menjadi anak
derhaka kerana menyakiti hati ibunya, menyusahkan hidupnya, membiarkan
penderitaannya semasa dia telah tua dan dibiarkan tanpa jagaan dan pembelaan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredaan),
maka sesungguhnya ia membuat reda Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu
bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah” (Hadis riyawat
Bukhari )
Dalam hadis yang lain Nabi SAW. pernah bertanya kepada para
sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu
kalian tentang dosa yang paling besar?”
Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.”
Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah,
derhaka kepada ibu bapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk
sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Lihatlah bagaimana dosa menderhaka kepada ibu bapa ini
diletakkan dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah SWT. iaitu dosa
yang paling keji di atas muka bumi ini.
Di dalam al-Quran Allah SWT. berfirman maksudnya : “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu
sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada
kedua ibubapa.” (Surah al-Nisaa’ ayat 36)
Di dalam ayat ini setelah Allah SWT memerintahkan hamba-Nya
untuk mentauhidkan-Nya dan mengerjakan ibadat kepada-Nya, Allah SWT. turut
menyuruh hamba-hamba-Nya agar menjaga kedua ibu bapa mereka dengan baik. Dalam
ertikata lain seseorang itu tidak dianggap memiliki kemantapan iman serta
ibadatnya juga belum dianggap sempurna selagi dia tidak berbuat baik kepada
kedua ibu bapanya.
Keredaan Allah SWT. terhadap hamba-Nya juga bergantung kepada
bagaimana seseorang itu menjaga hal ehwal ibu bapanya.
Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :“Keredaan
Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada
kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi )
2.
Membuat bakhil (kedekut)
Seburuk-buruk sifat yang dimiliki oleh manusia terutama orang
kaya adalah sifat bakhil atau kedekut . Orang kaya yang bakhil sebenarnya dia
adalah orang yang sombong, bongkak dan bangga diri kerana dia merasakan
hartanya akan dapat menyelamatkan dia daripada azab yang dahsyat di hari
akhirat.
Sifat dan ciri-ciri orang bakhil dan kedekut ini iaitu apabila
ada orang datang kepadanya samaada ahli keluarganya atau jirannya atau rakannya
datang untuk meminta pertolongan belum pun sempat dia hendak ceritakan
masaalahnya lantas dia akan berkata "maaf saya tidak dapat tolong"
sedangkan hartanya beratus ribu ringgit, apalah salahnya dia menghulurkan
bantuan, jika tidak dapat tolong banyak tolong sedikit pun tidak mengapa
sekadarnya untuk membantu kesusahan orang lain.
Orang kaya seperti ini hidupnya tidak akan berkat dan
perniagaannya tidak akan maju dan satu masa nanti dia akan mengalami kesusahan
kerana doa orang yang susah tadi kepada Allah SWT ,"Ya Allah tunjukkanlah
kekuasaan-Mu dan balasan-Mu kepada orang kaya yang kedekut ini, aku tahu dia
memiliki harta yang banyak tetapi sifat sombongnya enggan menolongku ketika aku
susah sedangkan Kau Tuhan Yang Maha Kaya dan Maha Pemurah, rezeki-Mu
keseluruhan di langit dan bumi dan Kau amat membenci sifat hamba-Mu yang bakhil
dan kedekut"
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud , "Maafkanlah kesalahan orang yang murah hati (dermawan).
Sesungguhnya Allah melihat tangannya jika dia terjatuh. Seorang pemurah hati
dekat kepada Allah, dekat kepada manusia dan dekat kepada syurga. Seorang yang
bodoh tapi murah hati (dermawan) lebih di sukai Allah daripada seorang alim
(tekun beribadah) tapi bakhil" (Hadis Riwayat Tabrani)
Jelaslah dalam hadis di atas seorang ahli ibadah, tinggi ilmu
agamanya, tinggi pelajarannya (sampai jadi pakar) tetapi apabila kedekut sangat
dibenci oleh Allah SWT . Harta ini sebenarnya milik Allah SWT, bukan hak kita
sepenuhnya jangan ingat kita akan kaya selama-lamanya dan tidak akan jatuh
bengkrap. Jangan ingat orang yang miskin dan susah akan susah selama-lamanya
kerana dunia ini umpama roda ada kalanya kita di atas dan adakalanya kita akan
dibawah.
Orang yang bakhil dan kedekut ini akan mendapat laknat malaikat
diwaktu pagi-pagi lagi seperti hadis daripada Nabi SAW.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Tidaklah hamba-hamba Allah
bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu
dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari
barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang
yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj maksudnya :
"Wahai Ali ! Orang yang
pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya serta jauh dari
seksa-Nya, sedangkan orang bakhil (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh dari
rahmat-Nya serta dekat dengan seksa-Nya."
"Wahai Ali ! Saya
melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan
bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang
tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."
3.
Menguburkan (membunuh) anak perempuan.
Di zaman jahiliah dahulu orang-orang arab jahiliah menganggap
anak perempuan adalah anak yang akan membawa sial atau menjatuhkan maruah
keluarga, maka mereka akan membunuhnya dengan menanamnya hidup-hidup atau
membunuhnya kemudian dikuburkannya.
Perbuatan ini adalah perbuatan yang dilarang keras oleh Allah
SWT kerana membunuh jiwa yang tidak berdosa. Dalam masyarakat kita pula
anak-anak yang dilahirkan diluar perkahwinan iaitu hasil perzinaan di antara
lelaki dan perempuan, untuk menjaga maruah keluarga dan untuk mengelakkan
daripada mendapat malu maka anak-anak luar nikah ini akan dibunuh dan
dibuangkan begitu sahaja seperti sampah. Setengah kes pekerja Majlis
Perbandaran menjumpai mayat bayi ditempat pembuangan sampah dan ada setengahnya
dimakan oleh anjing. Perbuatan manusia zaman sekarang sama dengan orang-orang
jahiliah malah mungkin lebih kejam lagi kerana tidak pernah kita dengar orang
arab jahiliah memberi makan anjing kepada mayat anak perempuan mereka.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan barangsiapa yang
membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal
ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan
azab yang besar baginya.” (Surah An- Nisaa’ ayat 93)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Orang yang mati terbunuh ,
akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu
tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah
terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang
yang terbunuh itu berkata : 'Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku'.
Maka Allah berkata kepada sipembunuh : 'Celakalah engkau, lalu di bawalah orang
itu ke neraka'.”
Anak-anak kecil yang mati dibunuh oleh ibu yang melahirkannya
akan mendakwa ibu tersebut di hari akhirat dan laknat Allah SWT akan diterima
oleh wanita tersebut dan di humbankan kedalam api neraka Jahanam.
Tiga perkara kebencian Allah SWT :
1.
Terlalu banyak berbicara begitu begini.
Terlalu banyak berbicara yang dilarang adalah membicarakan
sesuatu yang tidak berfaedah dan mendatangkan dosa seperti mengumpat, membuat
fitnah, mengadu domba dan berbual kosong hal-hal dunia yang tidak berfaedah.
Lidah yang baik adalah lidah yang berzikir, membaca al-Quran,
berkata benar dan mengajak manusia kepada amal maaruf dan mencegah
kemungkaran. Sedangkan lidah yang buruk adalah lidah yang digunakan untuk
mendatangkan dosa kepada Allah SWT.
Abu Sufyan bin 'Abdullah al-Saqafi telah bertanya kepada
Rasulullah SAW, "Apakah anggota manusia
yang paling merbahaya?". Rasulullah menunjukkan lidah baginda dan bersabda, "Inilah". Mulut dan lidah itu
menjadi begitu merbahaya apabila disalahgunakan.
Penggunaannya yang betul akan mendatangkan kebajikan dan
kebahagiaan di dunia dan hari akhirat.
Abu Sa'id al-Khudri meriwayatkan Nabi SAW bersabda maksudnya : "Setiap pagi segala anggota manusia berpesan kepada lidah:
'Engkau hendaklah selalu menjalankan perananmu dengan betul, mengikut perintah
Allah. Jika engkau betul, maka betullah kami. Jika engkau bengkok, maka turut
bengkoklah kami".
Lidah adalah anggota manusia yang akan memandu anggota-anggota
lain bila lidah lurus dan benar maka anggota-anggota lain akan mengikut
perjalanan lidah.
Dari hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah
r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W. ditanya tentang (amalan) yang paling
banyak memasukkan orang ke dalam syurga. Baginda menjawab, 'Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik (husnul khuluq).'
Baginda ditanya tentang hal yang banyak memasukkan orang ke neraka. Baginda
menjawab, 'Mulut dan kemaluan'." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Oleh itu jagalah lidah kita bila hendak berkata berfikirlah
dahulu sebab pepatah ada mengatakan, "Terlajak perahu boleh diundur,
terlajak kata buruk padahnya."
2.
Terlalu banyak bertanya.
Salah satu sifat Bani Israel yang dibenci oleh Allah SWT adalah
terlalu banyak bertanya iaitu mempersoalkan arahan Allah SWT. Bertanya kerana
tidak mengetahu sesuatu perkara digalakkan kerana dengan bertanya akan
mendatangkan kefahaman tentang sesuatu masaalah agama.
Tetapi yang dimaksudkan bertanya yang dibenci oleh Allah SWT
adalah mempertikaikan sesuatu arahan agama, banyak alasan-alasan yang diberikan
sedangkan arahan yang diberikan tidak pula di amalkan.
Contoh soalan yang dikemukakan seperti : Kenapa babi itu
diharamkan? Kenapa wanita wajib menutup aurat? Kenapa lelaki boleh berpoligami
sehingga 4 orang? Kenapa pembahagiaan harta pusaka anak lelaki mendapat dua
bahagian sedangkan anak perempuan mendapat satu bahagian.? Kenapa orang lain
kaya-raya sedangkan aku miskin? Kenapa aku mendapat penyakit sedangkan orang
lain sihat wal afiat?
Orang mukmin tidak akan mempersoalkan semua arahan Allah SWT
kerana setiap arahan itu mengandungi kebaikan. Dia akan berkata, "Kami dengar dan kami patuh", sedangkan orang fasik
dan munafik akan banyak tanya dan mempersoalkan perintah-perintah Allah SWT.
3.
Membuangkan harta tidak pada tempatnya.
Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah
SWT menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Israak ayat 26-27, yang
bermaksud: "...dan janganlah kamu belanjakan harta
kamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang membazir
(boros) itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang
sangat kufur (engkar) kepada Tuhannya".
Islam begitu menitikberatkan persoalan berhemat dalam
membelanjakan harta atau wang, dan Islam menegaskan agar umatnya tidak
melakukan pembaziran yang hanya akan mendatangkan kerugian. Pembaziran diambil
dari kalimah Bahasa Arab iaitu yang bermaksud membazir atau boros. Manakala
dari sudut istilah syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada
jalan yang bukan hak (kebenaran).
Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan
menafkahkan (mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat yakni
tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan tidak berlandaskan
tuntutan sunah Rasulullah S.A.W.
Manakala Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai
perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang
melanggar perintah Allah S.W.T.
Pendek kata, umat Islam mesti hayati dan amalkan sifat terpuji
suka bersyukur kerana mendapat apa jua nikmat atau rezeki kurniaan Allah walau
sedikit . Dan jangan sekali-kali cuba mengamalkan amalan suka membazir.
Yakinlah, bahawa dengan mengamalkan perintah Allah atau syariat-Nya dalam Islam
ini pasti hidup umat Islam akan lebih baik, berkat dan sentiasa dalam lindungan
serta keredaan Allah SWT.
Para Muslimin yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita hayati hadis di atas .Jauhilah dosa-dosa
besar adalah perbuatan yang membolehkan seseorang itu tergolong di kalangan
orang-orang yang menempah keburukan di akhirat nanti walhal di dunia pun
balasan dosa akibat perbuatan tersebut tidak mustahil akan menimpa mereka.
Menderhakai ibu, bakhil dengan kelebihan nikmat yang dikurniakan
Allah SWT membunuh anak sendiri, banyak bercakap perkara yang sia-sia, banyak
bersoal jawab sebelum melakukan sesuatu perkara dan suka melakukan pembaziran merupakan
perbuatan yang dilarang dan dibenci di dalam Islam.
Jika direnung akan keadaan umat sekarang, musibah-musibah yang
datang menimpa tidak pernah berkesudahan. Sama ada ia boleh dikategorikan
sebagai cubaan Allah, bala atau malapetaka semuanya bergantung pada kedudukan
sesebuah umat itu kerana Allah tidak pernah menzalimi manusia tetapi manusialah
yang menzalimi diri mereka sendiri.
Jika kita lalai daripada mengingati dan mensyukuri nikmat Allah,
segala sesuatu yang buruk akan sanggup kita lakukan kerana ia timbul hasil
dorongan hawa nafsu. Hilang sifat kasih sayang, kasihan belas apatah lagi sifat
kebergantungan terhadap Yang Maha Kuasa.
Timbullah sikap angkuh dan bongkak hingga sanggup menzalimi
orang lain. Tidak sedar akan balasan Allah yang bakal menimpa. Bahkan kita
melakukan dosa dengan perasaan megah dan bangga.
Itulah antara sebab-sebab yang mengundang kecelakaan. Oleh itu
sebagai hamba yang beriman janganlah kita melakukan perkara yang ditegah kerana
setiap tegahan itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri agar hidup sentiasa
berada di dalam keredhaan Ilahi.
Credit pic : Google
No comments:
Post a Comment