Sunday, December 21, 2014

Islam Di Bumi Sakura



Islam Di Jepun

Islam di Jepun telah mengalami pertumbuhan yang begitu pesat dalam tahun-tahun kebelakangan ini, dengan semakin banyak pemuda-pemudi kaya yang memeluk agama Islam dengan ghairah.

Sejarah

Antara 1877 dan Perang Dunia II. Hubungan Islam dengan Jepun adalah agak baru berbanding dengan hubungan agama ini dengan negara-negara yang lain di seluruh dunia.Tidak terdapat sebarang rekod yang nyata tentang hubungan-hubungan antara agama Islam dengan Jepun atau sebarang kesan sejarah tentang Islam di Jepun melalui penyebaran agama, kecuali beberapa hubungan terpencil antara penduduk-penduduk Jepun dengan orang-orang Muslim dari negara lain sebelum tahun 1868.

Agama Islam diketahui buat pertama kali oleh penduduk-penduduk Jepun pada tahun 1877 sebagai sebahagian pemikiran agama barat dan pada sekitar tahun itu, kehidupan Nabi Muhammad diterjemahkan dalam bahasa Jepun. Ini membantu agama Islam menempatkan diri dalam pemikiran intelek orang Jepun, tetapi hanya sebagai satu pengetahuan dan sebahagian sejarah budaya-budaya.

Lagi satu hubungan yang penting dibuat pada tahun 1890 ketika Turki Uthmaniyyah menghantar sebuah kapal yang digelarkan "Ertugrul" ke Jepun untuk tujuan memulakan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara serta untuk saling memperkenalkan orang Muslim dan orang Jepun. Kapal itu yang membawa 609 orang penumpang dalam pelayaran pulang ke negara mereka tenggelam dengan 540 penumpang mati lemas.

Dua orang Jepun Muslim pertama yang diketahui ialah Mitsutaro Takaoka yang memeluk Islam pada tahun 1909 dan mengambil nama Omar Yamaoka selepas menunaikan haji di Mekah, serta Bumpachiro Ariga yang pada masa yang lebih kurang sama telah pergi ke India untuk berniaga dan kemudian memeluk Islam di bawah pengaruh orang-orang Muslim tempatan di sana serta mengambil nama Ahmad Ariga. Bagaimanapun, kajian-kajian akhir-akhir ini telah mendedahkan bahawa lagi seorang Jepun yang dikenali sebagai Torajiro Yamada mungkin merupakan orang Jepun Muslim yang pertama ketika beliau melawat negara Turki disebabkan kasihan terhadap mereka yang maut dalam nahas kapal Ertugrul. Beliau mengambil nama Abdul Khalil dan mungkin pergi ke Mekah untuk naik haji.

Bagaimanapun, kehidupan komuniti Muslim yang benar tidak bermula sehingga ketibaan beratus-ratus pelarian Muslim Turki, Uzbek, Tajik, Kirghiz, Kazakh dan Tatar Turki yang lain dari Asia Tengah dan Rusia, ekoran daripada Revolusi Bolshevik semasa Perang Dunia I. Orang-orang Muslim ini yang diberikan perlindungan di Jepun menetap di beberapa bandar raya utama di sekitar Jepun dan menubuhkan komuniti-komuniti Muslim yang kecil. Sebilangan orang Jepun memeluk Islam melalui hubungan mereka dengan orang-orang Muslim ini.

Dengan pembentukan komuniti-komuniti Muslim yang kecil ini, beberapa buah masjid telah dibina. Yang paling penting antaranya ialah Masjid Kobe yang dibina pada tahun 1935 (masjid ini ialah masjid yang tunggal di Jepun pada hari ini) dan Masjid Tokyo yang dibina pada tahun 1938. Bagaimanapun, orang Jepun Muslim tidak mengambil berat tentang pembinaan masjid-masjid ini dan tidak terdapat sebarang orang Jepun yang pernah menjadi Imam.

Perang Dunia II dan selepas Semasa Perang Dunia II, satu "Ledakan Islam" telah dimulakan oleh kerajaan tentera di Jepun melalui penubuhan pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan untuk mengkaji Islam dan Dunia Muslim. Telah dikatakan bahawa pada tempoh ini, melebihi 100 buah buku dan jurnal mengenai Islam telah diterbitkan di Jepun. Bagaimanapun, pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini sama sekali tidak dikuasai atau dikelolakan oleh orang-orang Muslim dan tujuannya bukan untuk penyebaran Islam. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk melengkapkan tentera dengan pengetahuan yang diperlukan mengenai Islam dan orang Muslim kerana terdapat komuniti-komuniti Muslim yang besar di kawasan-kawasan yang diduduki oleh angkatan tentera Jepun di negara-negara China dan Asia Tenggara. Oleh itu, dengan penamatan perang pada tahun 1945, pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini hilang sama sekali dengan begitu cepat.

Lagi satu "Ledakan Islam" dimulakan, kali ini selepas krisis minyak 1973. Media massa Jepun telah memberi publisiti yang besar tentang Dunia Muslim secara amnya, dan khususnya kepada Dunia Arab, selepas menyedari kepentingan negara-negara ini terhadap ekonomi Jepun. Dengan publisiti ini, banyak orang Jepun yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang Islam mempunyai peluang untuk menonton Haji di Mekah serta untuk mendengar panggilan Azan (panggilan Islam untuk bersembahyang) dan pembacaan al-Quran. Selain daripada banyak orang Jepun yang memeluk Islam dengan jujur ketika itu, terdapat juga banyak upacara pengislaman beramai-ramai yang terdiri daripada berpuluh-puluh ribu orang. Bagaimanapun, selepas kesan kejutan minyak bertamat, kebanyakan pemeluk Islam meninggalkan agama itu.

Orang-orang Turki merupakan komuniti Muslim yang terbesar di Jepun sehingga akhir-akhir ini. Jepun sebelum Perang Dunia II amat dikenali untuk kasihan dan sokongan terhadap orang-orang Muslim di Asia Tengah dan memperlihatkan mereka sebagai sekutu anti Soviet. Pada masa itu, sebilangan orang Jepun yang bertugas dalam lingkungan perisikan mempunyai hubungan dengan orang-orang Muslim itu. Sebilangan perisik Jepun itu kemudian memeluk Islam melalui hubungan-hubungan ini selepas akhir perang.

Juruterbang-juruterbang Jepun yang pergi ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia sebagai tentera semasa Perang Dunia II diajar mengungkapkan "La ilaha illa Allah" ketika pesawat-pesawat mereka ditembak jatuh di kawasan-kawasan ini supaya mereka tidak dibunuh. Sebuah pesawat Jepun telah dikatakan ditembak jatuh dan juruterbangnya ditangkap oleh penduduk-penduduk. Apabila juruterbang itu menjeritkan kata-kata "ajaib" itu, dia berasa hairan ketika penduduk-penduduk itu mengubahkan sikap-sikap mereka terhadapnya, dan memperlakukannya dengan baik.

Persatuan Muslim Jepun

Serangan Jepun terhadap China dan negara-negara Asia Tenggara semasa Perang Dunia II menghasilkan hubungan-hubungan antara orang-orang Jepun dengan orang-orang Muslim. Mereka yang memeluk agama Islam melalui hubungan-hubungan itu kemudian mengasaskan Persatuan Jepun Muslim di bawah pimpinan Allahyarham Sadiq Imaizumi pada tahun 1953. Persatuan tersebut ialah pertubuhan Jepun Muslim yang pertama. Bilangan ahlinya sebanyak 65 orang pada masa penubuhan persatuan ini bertambah dua kali ganda sebelum pemimpinnya meninggal dunia enam tahun kemudian.

Presiden kedua persatuan ini ialah Allahyarham Umar Mita. Mita merupakan orang Islam yang tipikal bagi generasi tuanya yang membelajari Islam di wilayah-wilayah yang diduduki oleh Empayar Jepun. Beliau bertugas dengan Syarikat Keretapi Manshu yang hampir menguasai semua kawasan Jepun di wilayah timur laut China ketika itu. Melalui hubungan-hubungannya dengan orang-orang Cina Muslim, beliau memeluk Islam di Beijing. Apabila Mita kembali ke Jepun selepas perang, beliau menunaikan haji, dan merupakan orang Jepun pertama selepas peperangan untuk berbuat demikian. Mita juga menterjemahkan maksud al-Quran dari sudut pandangan orang Muslim dalam bahasa Jepun buat pertama kali.

Oleh itu, hanya selepas Perang Dunia II baru terdapat sebuah komuniti di Jepun yang benar-benar boleh dipanggil "komuniti Jepun Muslim". Walaupun kejayaan permulaan agak memuaskan, perkembangan kemudian dari segi keahlian amat perlahan, dan walaupun terdapat banyak pertubuhan yang diasaskan sejak masa itu, setiap pertubuhan itu hanya mempunyai beberapa ahli yang aktif.

Majlis pembukaan ini yang diadakan di Masjid Fukuoka Jepun lebih kepada penerangan kepada orang2 Jepun tentang sejarah Islam serta komuniti muslim di Jepun.

Orang Jepun Muslim

Tidak terdapat anggaran yang boleh dipercayai tentang bilangan orang Jepun Muslim di Jepun. Tuntutan tiga puluh ribu tidak diragui merupakan satu tokok tambah. Sesetengah orang mendakwa bahawa bilangannya hanya dalam beberapa ratus. Ketika ditanya, Abu Bakr Morimoto berjawab, "Bercakap terus terang, hanya seribu. Dalam pengertiannya yang paling umum, jika kita memasukkan mereka yang memeluk Islam tetapi tidak mengamalkan agama ini, umpamanya hanya untuk perkahwinan, bilangannya mungkin dalam beberapa ribu."

Perkembangan yang sebegini perlahan disebabkan sebahagiannya oleh keadaan luar. Suasana keagamaan tradisional Jepun dan kecenderungan yang amat mementingkan kebendaan harus dipertimbangkan. Tetapi terdapat juga kelemahan dari segi orang-orang Islam Jepun sendiri juga. Terdapat perbezaan orientasi antara generasi yang tua dengan generasi yang baru. Bagi generasi yang tua, Islam disamakan dengan agama Malaysia, Indonesia, China, dan sebagainya. Tetapi bagi generasi baru, negara-negara Asia Tenggara tidak begitu menarik hati disebabkan orientasi barat mereka dan oleh itu, mereka lebih dipengaruhi oleh Islam di negara-negara Arab.

"Generasi tua telah hidup dengan rapat dengan orang-orang Muslim bukan orang Jepun," Nur Ad-Din menegaskan. "Ini adalah sesuatu yang cemerlang dalam semangat persaudaraan. Tetapi dari segi yang lain, kita tidak boleh menafikan kesan sampingannya, iaitu, cara hidup ini tidak boleh mengelakkan orang-orang Jepun yang lain daripada berfikir bahawa agama Islam ialah sesuatu yang asing. Bagaimana untuk mengatasi rintangan ini ialah satu masalah yang perlu diatasi. Ini merupakan satu tugas untuk kita, generasi yang lebih muda."
Ketika melawat negara-negara Muslim, kata-kata bahawa orang-orang Muslim Jepun adalah kumpulan agama minoriti sering menimbulkan soalan daripada para hadirin, "Berapakah peratus bilangan orang Muslim di Jepun?" Jawapan ketika ini: "Satu daripada seratus ribu."

Dakwah di Jepun

Sejarah Islam di Jepun mendedahkan beberapa gelombang pemelukan agama yang rawak. Bagaimanapun, kempen-kempen agama baru di Jepun setakat ini tidak begitu berjaya, termasuk agama Kristian. Statistik menunjukkkan bahawa di sekitar 80% daripada jumlah penduduk Jepun adalah penganut Budhisme atau Shintoisme, sedangkan hanya 0.7% merupakan penganut Kristian. Keputusan tinjauan pendapat terkini yang dikendalikan oleh sebuah majalah bulanan Jepun membayangkan satu kaveat yang penting. Hanya satu perempat penduduk-penduduk Jepun mempercayai mana-mana satu agama yang khusus. Ketiadaan kepercayaan ini adalah lagi ketara bagi pemuda-pemudi Jepun yang berumur 20-an dengan kadar ateisme setinggi 85%.

Bilangan pendakwah yang berpotensi dalam komuniti Muslim di Jepun adalah amat kecil, dan terdiri daripada para pelajar dan pelbagai jenis pekerja yang bertumpu di bandaraya-bandaraya besar seperti Hiroshima, Kyoto, Nagoya, Osaka dan Tokyo. Persatuan-persatuan pelajar Muslim dan sebilangan persatuan tempatan sekali sekala mengelolakan perkhemahan dan perhimpunan dalam usaha untuk memperbaik pemahaman ajaran Islam serta untuk mengukuhkan persaudaraan antara orang-orang Muslim. Bagaimanapun, usaha-usaha mereka jarang diuruskan secara teratur untuk mengendalikan kegiatan-kegiatan dakwah dengan berkesan.

Terdapat keperluan yang berterusan untuk orang-orang Muslim bertahan daripada tekanan-tekanan dan godaan-godaan gaya hidup moden yang lebih ghairah. Orang-orang Muslim juga menghadapi kesusahan terhadap komunikasi, perumahan, pendidikan kanak-kanak, makanan halal, serta kesusasteraan Islam, dan kesemua ini menghalang kegiatan-kegiatan dakwah di Jepun.

Tanggungjawab dakwah seringnya dianggap sebagai suatu kewajipan orang-orang Muslim untuk berkhutbah kepada orang bukan Muslim. Bagaimanapun, panggilan yang penting untuk islaah dan tajdeed juga merupakan bentuk-bentuk dakwah yang tersendiri untuk orang-orang Muslim. Usaha untuk pembaikan tahap pengetahuan Islam dan keadaan-keadaan hidup komuniti Muslim adalah satu bentuk dakwah pada dirinya yang amat diperlukan di Jepun. Jika sikap-sikap tidak ambil peduli dan kepasifan penduduk-penduduk Islam di Jepun terhadap persoalan-persolan jemaah Islam tidak bertukar, komuniti-komuniti Islam di Jepun menghadapi risiko pelemahan dan penghapusan melalui putar belit kepercayaan Islam yang akan bertambah teruk. Kemungkinan ini disebabkan oleh pendedahan yang tetap terhadap pengaruh-pengaruh adat resam dan amalan tradisional Jepun, seperti membongkokkan badan sebagai bentuk menyambut, serta penyertaan-penyertaan bersama dalam perayaan-perayaan agama dan lawatan-lawatan kuil.

Masalah-masalah yang dihadapi oleh orang-orang Muslim mungkin lebih teruk bagi kanak-kanak Muslim yang, tanpa sebarang tadika atau sekolah Muslim, merupakan sasaran yang mudah untuk dipengaruhi oleh tabiat-tabiat budaya dan sosial yang bukan Islam. Ketiadaan institusi-institusi pendidikan yang bersifat Islam juga dibayangkan oleh fakta bahawa seluruh negara Jepun hanya mempunyai sebuah masjid yang tunggal. Dengan fadhl dari Allah (S.W.T), masjid itu telah bertahan daripada gempa bumi yang hampir memusnahkan seluruh bandar raya Kobe pada 17 Januari 1995. Terdapat usaha-usaha yang tetap untuk membina atau mengubah unit-unit perumahan menjadi surau di banyak bandar raya yang lain.

Tanggapan salah terhadap ajaran Islam yang diperkenalkan oleh media-media barat perlu dibetulkan dengan cara yang lebih cekap dan yang mengambil kira ciri penting masyarakat Jepun sebagai salah satu negara yang paling kenal huruf di dunia. Bagaimanapun, disebabkan taburan orang Muslim yang amat sedikit, terjemahan maksud-maksud al-Quran dalam bahasa Jepun juga tidak mudah didapati. Hampir tidak adanya kesusasteraan Islam di dalam buku-buku kedai atau perpustakaan-perpustakaan awam, kecuali beberapa esei dan buku dalam bahasa Inggeris yang dijual pada harga yang agak tinggi.

Oleh itu, tidaklah mengejutkan untuk mendapati bahawa pengetahuan orang Jepun yang biasa tentang agama Islam hanya dihadkan kepada beberapa istilah yang berkaitan dengan poligami, Sunni dan Shia, Ramadhan, Haj, Nabi Muhammad, dan Allah. Dengan kesan-kesan yang semakin terang tentang kesedaran kewajipan komuniti-komuniti Islam serta penilaian yang rasional terhadap keupayaan dan batasnya, Ummah Muslim telah menunjukkan tanggungan yang lebih kuat terhadap pelaksanaan kegiatan-kegiatan dakwah dengan cara yang lebih teratur.

Imej Islam dirosakkan secara teruk oleh pembunuhan Hitoshi Igarashi di Jepun disebabkan oleh penterjemahan Ayat-ayat Satan (The Satanic Verses) olehnya, Serangan 11 September 2001, dan pengeboman bunuh diri di Palestin, Israel, Bali, Iraq, dan Jordan yang dilakukan di atas nama Islam. Imej Islam juga dirosakkan lagi oleh tanggapan ketakstabilan politik di dunia Arab.

Seorang “brother” kita yang berdarah Jepun-Vietnam berusia 19 tahun, Yuri Hayamato (nama Islam sekarang, Mohammed Kamarov) menerima Islam dengan perjalanan spiritualnya yang panjang. Dia adalah seorang mahasiswa dan lahir di sebuah keluarga ateis. Abang2 dan kakak2 lain memetik hikmah dari kisah inspirasi beliau, betapa Yuri menghadapi kebencian, kemarahan, laporan dan pemberitaan media yang palsu mengenai Islam, dan rasa ingin tahu membuat dia akhirnya memilih & menerima agama sempurna ini.


Brother Yuri Hayamato membaca al-Quran

Rujukan
 
Islam in Japan: It's past, present and future. Islamic Centre Japan, 1980.
Arabia, Jilid 5, No. 54. Februari 1986/Jamad al-Awal 1406.

Gambar



slampos.com
vhafizalsofiah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

I Love All My Followers ^_^

Entry Babab.net

hatsune_miku_cursor

Singing Hatsune Miku

snow_pink

cute_anime_girl_bottom_left

cute_anime_girl_top_right

Streampad